FAM

Noor Azman digantung serta-merta berkuat kuasa Jumaat

2025-10-17 18:53:45

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman digantung tugas serta-merta bagi memberi laluan kepada siasatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung status tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundram mengesahkan perkara berkenaan dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada Jumaat.

"Setiausaha Agung FAM digantung berkuat kuasa hari ini (Jumaat)," katanya memetik ciapan dari pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam pada laman X.

Langkah penggantungan tugas Noor Azman, dibuat susulan tindakan yang dikenakan oleh FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya menjelaskan, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi tujuan mengesahkan kelayakan pemain berkenaan untuk membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi antarabangsa.

Tindakan berkenaan sekali gus mencetuskan siasatan menyeluruh terhadap proses pendaftaran dan pengesahan pemain kacukan yang dilakukan oleh badan induk bola sepak negara.

Antara tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Kesemua pemain tersebut sebelum ini didaftarkan sebagai pemain warisan dan pernah disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya bagi kempen kelayakan antarabangsa.

Sebagai rekod, Noor Azman mula memegang jawatan Setiausaha Agung FAM pada 1 September 2022, menggantikan Mohd Saifuddin Abu Bakar dan kemudian dilantik semula bagi penggal 2025-2029 pada Februari 2025.

⬅ Kembali ke Berita Terkini

🚫 AdBlock / Extension Dikesan

Fanatik Bola tetap dihati

Sila matikan semua extension seperti AdBlock, uBlock Origin, Brave Shield, VPN atau Privacy Tools, kemudian refresh halaman untuk terus membaca berita terkini.